Tuesday, August 3, 2010

Panduan persediaan, lerai kekeliruan ibadat puasa



Persoalan yang timbul daripada perbezaan matla’ ini ialah adakah perbezaan itu memberi kesan kepada rukyah hingga menyebabkan dua negara berbeza tarikh awal Ramadan atau menyambut Syawal lebih dulu daripada orang lain.

Ini antara isu selalu dibahaskan terutama apabila ada negara yang berpuasa lebih awal atau terlewat sehari dari negara kita.

Pandangan diutarakan, perbezaan matla’ memberi kesan kepada perbezaan waktu berpuasa dan setiap negeri perlu berpandukan kepada kedudukan matla’ masing-masing. Maksudnya, permulaan Ramadan mengikut keputusan pemerintah negara selepas proses melihat anak bulan dilakukan.
Perbezaan matla’ antara isu dibahaskan buku Isu-isu Dalam Ibadat Puasa bagi menjawab permasalahan ummah mengenai ibadat puasa yang dihuraikan berdasarkan nas syarak, latar belakang nas daripada sudut makna dan pengistinbatan hukum.

Ibadat puasa mempunyai disiplin tersendiri dan orang yang berpuasa perlu memastikan setiap disiplin ditunaikan dengan sempurna bagi memastikan ibadat puasa yang dilakukan diterima Allah. Oleh itu, ilmu mengenai puasa perlu jelas kepada semua umat Islam.

Kesempurnaan proses perbincangan hukum tidak tercapai jika disempitkan kepada satu pandangan ulama atau mazhab. Buku ini mengambil pendekatan mengemukakan pandangan ulama daripada mazhab yang relevan dengan topik perbincangan.

Begitu juga masalah yang sering menimbulkan keraguan dan pertanyaan ibadat puasa termasuk fenomena lupa hingga melakukan perkara seperti makan, minum dan jimak. Perkara itu dibincangkan bagi meleraikan kekeliruan.

Kebanyakan ulama berpendapat sesiapa yang makan dan minum kerana terlupa ketika berpuasa Ramadan, puasa masih sah dan tidak wajib diqada. Bagaimanapun ilmuwan Islam daripada mazhab Maliki berpendapat, makan atau minum kerana terlupa ketika Ramadan, puasa itu terbatal.

Sebagai persediaan menghadapi Ramadan tidak lama lagi, peningkatan ilmu mengenai puasa dapat memberi keyakinan untuk melaksanakan ibadat diwajibkan setahun sekali itu dengan sempurna demi mendapat ganjaran Allah.

No comments:

Post a Comment

Pengikut-ikut Saya