Monday, August 2, 2010

Manusia abai kebersihan jejas fungsi sungai sebagai sumber air

gambar sumber dripda berita harian


KEWUJUDAN beberapa tamadun awal dunia di sepanjang sungai Tigris di Mesopotamia, Sungai Nil di Mesir, Sungai Indus di India dan Sungai Kuning di China menyaksikan betapa sungai sangat signifikan dengan perkembangan peradaban manusia. Tanpa sungai sebagai punca air minuman dan jalan perhubungan dari satu tempat ke satu tempat nescaya tamadun manusia tidak akan berkembang selama-lamanya. Malah fakta sejarah membuktikan betapa Sungai Melaka di Tanah Melayu pernah menjadi hab perhubungan dunia antara Timur dan Barat sehingga menyumbang kepada pembentukan negara kita sekarang.

Allah berfirman bermaksud; “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Surah al-Anbiya’: 30).

Akibat kerakusan segelintir masyarakat merosakkan sumber anugerah Tuhan yang sangat bernilai dengan membuang sejumlah 2,000 tan sampah ke sungai setiap bulan menyebabkan sungai gagal berfungsi dengan sempurna. Malah ia mengundang malapetaka dan bencana lain seperti banjir lumpur dan limpahan air sungai ke kawasan penempatan rendah lalu turut mengorbankan nyawa dan kerugian harta benda. Sistem marin dan ekologi sungai juga mengalami kerosakan apabila sisa industri dan kumbahan tidak terurus dialirkan ke sungai sewenang-wenangnya.

Pernyataan ini dikuatkan lagi menerusi kajian yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mendapati air sungai di Malaysia tercemar dengan logam berat seperti arsenik, raksa, kadmium, kromium, plumbum dan zink. Sesuatu yang perlu dipandang serius semua pihak, kerana sungai adalah sumber utama air minuman di Malaysia.

Malah tindakan pihak tertentu mengambil jalan mudah meraih keuntungan lumayan dengan membuang sisa industri dan lain-lain ke sungai patut dikenakan tindakan setimpal supaya tidak berulang. Ini ditambah lagi kegiatan pertanian, penternakan, penempatan dan perindustrian di kawasan berhampiran sungai yang tidak terkawal sehingga menambahkan lagi pencemaran sedia berlaku.

Sebagai umat Islam, kita sentiasa digalakkan untuk bersih dan suci. Apatah lagi kebersihan sebahagian daripada iman. Justeru, umat Islam terbabit mencemarkan sungai dan alam sekitar disaran bertaubat serta berhenti daripada terus merosakkan alam ciptaan Tuhan yang tiada galang-gantinya. Malah jika diteliti fitrah asal, manusia yang cenderung kepada kebersihan secara semula jadi menjauhkan diri daripada kejijikan dan kekotoran.

Diriwayatkan Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud Dari Abu Hurairah r.a. berkata; Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Bagaimana pandangan kamu seandainya pada pintu salah seorang di antara kamu sekalian ada sebuah sungai di mana ia mandi setiap hari lima kali di sungai itu; apakah masih tertinggal sesuatu kekotorannya?” Para sahabat menjawab; “Tidak”. Beliau bersabda lagi; “Demikianlah perumpamaan solat yang lima di mana Allah SWT menghapus dosa-dosa dengannya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment

Pengikut-ikut Saya